Kenapa Ramai Trader Mengalah Dalam Trading

0

Saya pasti anda mesti pernah dengar bahawa lebih daripada 90% trader alami kerugian dan data daripada tradecity mengatakan dalam 80% trader akan berhenti trading dalam tempoh 1 ke 2 tahun.

Ianya tidak kira pasaran apa pun forex, saham, ataupun crypto, saya rasa anda pasti setuju bahawa kebanyakan trader akan mengalah dan berhenti dari trading.

Tapi pernah tak anda terfikir kenapa lebih daripada 90% trader gagal dalam perjalanan trading mereka?

Jadi di artikel kali ini saya ingin berkongsi punca dan sebab kenapa kebanyakan trader mengalah dan macam mana kita dapat elak daripada lalui nasib yang sama.

1) Tidak Mempunyai Bimbingan

Tidak mempunyai sebarang bimbingan boleh menjadi sebab kenapa ramai trader mengalah dalam trading kerana mereka tidak mempunyai sesiapa untuk bimbing mereka dalam perjalan mereka untuk menjadi seorang trader.

Ianya tidak mustahil untuk kita belajar sendiri, tetapi dengan mempunyai bimbingan dari orang lain ia dapat bantu kita daripada melakukan banyak kesilapan dan ia juga dapat memberi motivasi buat diri kita untuk terus belajar. Trading ini bukanlah mudah.

Bimbingan ini boleh datang daripada sebuah komuniti atau group trading ataupun seorang mentor.

Terdapat banyak kelebihan untuk anda mempunyai seorang mentor, contohnya seorang mentor dapat bimbing kita ke arah yang betul dalam perjalanan pembelajaran kita, pada masa yang sama kita boleh gunakan kesah mentor tersebut untuk kekal semangat.

Cuma kekurangan mentor ini adalah kosnya mungkin sedikit mahal dan tidak semua orang mampu. Tapi sekarang ini sudah terdapat banyak group-group trading di luar sana.

Anda boleh saja lakukan pencarian di facebook untuk group trading dan saya pasti ada banyak group yang anda boleh sertai.

Tetapi sila berhati-hati apabila memilih mentor atau sertai mana-mana group trading kerana sekarang ini terdapat banyak kes penipuan dalam trading dimana seseorang individu tersebut yang hanya mahukan duit anda.

Jadi sebelum anda pilih seorang mentor, cuba kaji sedikit latar belakang beliau, adakah beliau memang orang yang sebenar dan apa yang dia cakap itu benar ataupun tidak. Boleh lihat profile media social mereka dan juga cuba tanya orang lain jika pernah belajar bersama mentor tersebut dan dapatkan feedback daripada mereka.

2) Tiada Arah Tuju

Mempunyai matlamat dalam trading sebenarnya penting, ia akan memberikan anda arah tuju atau tujuan untuk anda kejar.

Tanya kepada diri sendiri “kenapa aku mahu mula trading?”, adakah sebab mahu buat trading ini sebagai pendapatan tambahan atau mungkin juga sebab mahukan kebebasan dengan jana pendapatan sepenuhnya dari trading, sebab anda sudah tidak mahu bekerja di pejabat dan tiada bos yang akan marah anda setiap hari.

Mungkin juga sebab seperti mahu mula trade kerana ingin kebebasan untuk melancong, sebab trading ini boleh dilakukan di mana-mana saja asalkan ada komputer atau laptop dan internet.

Selepas anda sudah tahu sebab kenapa anda mahu mula trading, anda perlu fikrikan pula berapakah jumlah yang anda mahukan dalam bentuk wang.

Contoh katakan anda mahu mula trade sebab mahukan kebebasan dan sudah tidak mahu kerja di pejabat.

Jadi anda nak jadikan trading ini sebagai full time. Anda perlu tahu berapa jumlah yang diperlukan setiap bulan untuk sara hidup.

Katakan anda jenis tidak mahu bermewahan tapi asalkan cukup untuk sara diri sendiri dan keluarga sudah bagus. Saya tidak tahu berapakah jumlah tahap keselesaan anda, mungkin RM3000 mungkin RM5,000 sebulan.

Kalau sasaran anda adalah untuk dapat menjana dalam RM4,000 sebulan dari trading, jadi cuba berlatih dahulu untuk menjadi konsistent sehingga anda dapat hasil sebanyak RM4,000 sebulan daripada trading, kalau target anda RM3,000 sebulan berlatih sampai jadi konsistent RM3,000 setiap bulan.

Dengan meletakkan matlamat dan anda tahu sebab apa anda mahu mula trading, anda akan tidak mudah mengalah kerana anda mempunyai matlamat untuk dicapai.

3) Tidak Memiliki Ilmu

Tidak mempunyai ilmu yang mendalam tentang trading boleh merugikan kita.

Kebanyakan orang tidak sabar untuk mula trade di akaun sebenar kerana mereka tidak sabar untuk membuat duit dengan cepat, tapi sebenarnya perkara tersebut lah yang akan menjadi punca kepada kerugian mereka.

Untuk berjaya dalam bidang trading ianya bukan hanya tentang berapa besar modal kita tetapi berapa banyak ilmu berkenaan pasaran dan trading yang kita miliki. Lagi banyak lagi bagus.

Cuba belajar tentang trading dahulu, ianya disarankan untuk belajar seberapa banyak yang boleh dalam tempoh beberapa bulan, dan kemudiannya berlatih di akaun demo dahulu untuk biasakan diri dan untuk kaji sama ada trading strategy yang anda gunakan tersebut ok ataupun tidak.

Saya tahu ramai yang berasa bosan apabila mendengar akaun demo, jika mahu berlatih di akaun sebenar juga, saya sarankan akaun jenis micro, ini untuk jaga diri anda daripada alami kerugian yang lebih besar jika berlatih di akaun jenis standard.

4) Tidak Berminat

Kalau kita tiada rasa minat dalam sesuatu perkara itu ia akan lagi susah untuk kita berjaya dalam perkara tersebut.

Sebagai contoh untuk menjadi seorang pemain bola sepak profesional individu tersebut perlu berlatih bertahun-tahun lamanya untuk capai ke tahap profesional.

Soalannya adalah apakah rahsia untuk mereka dapat bertahan dan terus berlatih selama tempoh bertahun untuk menjadi pemain profesional?

Ianya sebab mereka minat dengan bola sepak.

Pernah tak anda berjumpa dengan pemain bola sepak profesional yang mengatakan dia sebenarnya tidak minat untuk bermain bola?

Sudah tentu tidak pernah kan.

Sebab itu ianya penting untuk kita mempunyai minat dengan benda yang kita mahu buat dalam contoh ini trading.

Ini kerana perjalanan untuk menjadi seorang trader yang berjaya bukanlah sebuah perjalanan yang cepat dan mudah. Ye mungkin ada kesah trader yang telah berjaya dalam tempoh masa yang singkat.

Tetapi anda perlu ingat, sifat tahap pembelajaran setiap orang berbeza, ada yang cepat tangkap dan ada yang sedikit perlahan.

Saya ada kenal trader yang ambil masa lebih 2 tahun sebelum beliau mula menjadi konsistent dalam trading beliau.

Macam mana dia dapat bertahan lama?

Kerana dia tidak mengalah dan lagi satu lagi sebab dia memang berminat untuk belajar tentang trading ini, dia suka perkara yang sentiasa terdapat benda baru untuk dipelajari dalam pasaran.

Jadi anda tidak boleh mula trading hanya kerana terdapat kenalan anda sudah berjaya dalam trading atau mungkin anda ada terbaca sebuah artikle kisah trader yang berjaya dan miliki sebuah rumah besar dan kereta ferrari 3 biji.

Ianya tidak salah untuk minat trading kerana potensi untuk menjana duit, tapi jangan 100% semuanya hanya kerana duit. Anda kene minat juga proses lain seperti minat untuk mendapat ilmu berkaitan pasaran, cara pasaran kewangan beroperasi, dan berapa banyak benda baru yang anda akan belajar.

5) Mahu Hasil Yang Cepat

Generasi sekarang memang sudah terbiasa untuk mendapat sesuatu benda itu dengan cepat, kalau kita lapar boleh sahaja pesan guna aplikasi penghantaran makanan, kalau barang sudah habis tidak perlu keluar beli boleh saja beli secara online dan dihantar ke rumah.

Tetapi untuk berjaya dalam trading dan dalam apa-apa bidang sekali pun kita perlu mempunyai sifat kesabaran dan tahu bahawa untuk berjaya ia akan makan masa.

Trading ini sama juga seperti sebuah kemahiran yang lain, kita perlu sentiasa berlatih untuk asah kemahiran tersebut, cuma daripada kemahiran seperti memanah, kita ingin berlatih dan asah kemahiran kita untuk membuat analisa di chart.

Dia boleh ambil masa selama 1 tahun, 2 tahun dan mungkin lebih ianya bergantung kepada individu tersebut. Tapi apa yang penting adalah untuk tidak mudah mengalah.

Kesimpulan

Untuk menjadi trader yang berjaya bukanlah mudah seperti apa yang ramai orang sangkakan, ianya boleh ambil masa yang lama sebelum kita nampak hasil pulangan.

Disebabkan ini, ramai trader akan mengalah dalam tempoh 2 tahun pertama mereka. Untuk elak daripada alami nasib yang sama, kita perlulah mempunyai arah tuju yang betul dan dikelilingi bersama orang yang betul.

Sertai komuniti trading yang aktif, dengan berjumpa orang yang dapat bimbing kita, ia dapat berikan semangat untuk teruskan perjalan trading kita.

Saya ingin tahu, berapa lama sudah anda ceburi bidang trading ini adakah sudah lama ataupun masih baru lagi. Dan jika anda sudah lama dan ingin berkongsi petua buat mereka yang baru mahu mula belajar trading, boleh berkongsi di ruang komen di bawah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *